Thu10022014

LAST_UPDATEThu, 02 Oct 2014 4pm

PKR: Petisyen Pertama Difail Seminggu Lagi

SHAH ALAM: Siasatan petisyen PRU13 yang pertama daripada PKR hampir siap dan akan difail ke mahkamah seminggu lagi.
 
Ketua Pasukan Siasat PRU13 PKR, Rafizi Ramli berkata, satu bengkel diadakan di ibu pejabat PKR, semalam yang menemukan 120 peserta terdiri daripada peguam, penyiasat, calon dan ahli-ahli parti yang berkenaan.
 
“Kita sedang mengumpul bukti dan proses mengambil kenyataan dengan lebih terperinci bagi mempercepatkan petisyen dihantar ke mahkamah.
 
“Kita tumpukan aspek kesalahan dan penipuan pilihan raya seperti yang dilaporkan oleh pengundi dan orang ramai. Semua sudah tahu dan sedia maklum apa isu akan dibangkitkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
 
Rafizi berkata, tiga perkara asas petisyen tersebut ialah isu membeli undi, kesalahan-kesalahan yang berlaku dalam proses PRU serta calon atau ejen yang memberi rasuah.
Menurutnya, setiap tempat dan kawasan ada isunya yang tersendiri dan ia akan disertakan dengan bukti.
 
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, PKR kini memberi tumpuan kepada 29 buah kerusi yang kalah tipis dengan perbezaan lima peratus undi sahaja.
 
Katanya, 10 Jun 2013 merupakan tarikh akhir penghantaran petisyen, iaitu dalam tempoh 21 hari seperti yang diperuntukkan.
 
“Laporan lain yang diterima kini sedang diteliti dan Pasukan Siasat PRU13 akan memanggil pengadu untuk mengambil keterangan dan bukti bagi tujuan tindakan seterusnya,” katanya.
 
Rafizi berkata, PKR juga bekerjasama dengan Pas dan DAP menjalankan siasatan ini.
 
 
 
 
 
 
- Sinar harian