Fri10312014

LAST_UPDATEFri, 31 Oct 2014 11pm

DAP Kesan 100 Pengundi 'Hantu' Di Lobak

SEREMBAN: DAP Negeri Sembilan mendedahkan bahawa pihaknya berjaya mengesan 100 pengundi ‘hantu’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lobak, Seremban.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan Loke Siew Fook berkata beliau mula berasa syak apabila terdapat penambahan sebanyak 29 peratus pengundi baru selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), 2008 di DUN Lobak.

“Pada tahun 2008, jumlah pengundi DUN Lobak yang dicatatkan ialah 15,162 orang tetapi pada tahun lepas ia meningkat kepada 3,493 pengundi baru.

“Lazimnya penambahan pengundi baru hanya akan berlaku dalam sekitar 10 hingga 15 peratus sahaja.

“Atas sebab itu saya telah membuat bantahan terhadap senarai Rang Pendaftar Pemilih Suku ke-4, tahun 2012 di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  negeri, kerana curiga dengan beberapa nama dan alamat yang dipaparkan.

“Berikutan itu saya telah memfailkan 100 kes bantahan berhubung dengan nama individu dan alamat palsu kepada SPR untuk siasatan. Di mana 12 daripadanya  kaum Cina, 64 India dan 24 Melayu.

“Ternyata kes yang saya failkan itu berjaya apabila SPR melalui siasatan awam yang dilakukan pada Februari lalu mendapati bahawa pengundi baru yang  menggunakan alamat di Lobak itu tidak wujud dan adalah palsu. Surat yang diposkan oleh SPR kepada individu dan alamat itu dikembalikan kepada SPR  semula,” kata Loke.

Loke yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak berkata, beliau mengesyaki hampir 1,500 individu cuba dipindahkan masuk ke dalam DUN Lobak  secara tidak sah oleh pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja menggunakan taktik kotor itu untuk mencipta kemenangan.

“Perbezaan jumlah bilangan kaum yang sangat ketara membuatkan dirinya yakin bahawa rang pendaftar pemilih yang baru ini adalah tidak tepat.

“Sebelum ini jumlah pengundi Cina adalah berjumlah 79 peratus, manakala pengundi India sebanyak 15 peratus, tetapi dengan rekod yang baru ini, masing- masing telah berubah menjadi 72 peratus dan pengundi India pula meningkat sehingga 20 peratus,” ujar Loke.

Loke turut menambah bahawa dalam tempoh lima tahun ini sejak Mac 2008, beliau telah membuat bantahan kepada SPR lebih kurang sebanyak empat kali  berhubung nama-nama yang disyaki pengundi ‘hantu’ di DUN Lobak.

“Semua bantahan yang saya buat sebelum ini diterima oleh SPR dan nama pengundi ‘hantu’ ini telah dikeluarkan oleh SPR.

“Apabila bantahan yang dibuat itu berjaya, terbuktilah bahawa memang ada unsur jahat yang dilakukan oleh pihak politikus lain yang cuba mencari kepentingan  sendiri menjelang Pilihan Raya Umum yang akan datang,” katanya.

- FMT

http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/03/30/dap-kesan-100-pengundi-%E2%80%98hantu%E2%80%99-di-lobak/