Tue07172018

LAST_UPDATETue, 17 Jul 2018 1pm

Pencemaran Alam Sekitar, Pengasas Lombong Nikel Finland Dipenjara Enam Bulan

Pekka PeraPekka Pera

HELSINKI -- Mahkamah Tinggi di Rovaniemi, yang terletak di utara Finland, pada Khamis menjatuhi hukuman penjara enam bulan ke atas Pekka Pera, pengasas syarikat perlombongan Talvivaara kerana didakwa menyebabkan pencemaran teruk terhadap alam sekitar, lapor agensi berita China Xinhua.

Bermula pada 2015, saman itu dianggap sebagai kes jenayah alam sekitar paling signifikan di Finland.

Terdahulu, Pera telah didenda oleh sebuah mahkamah rendah bersama-sama dua lagi eksekutif syarikat perlombongan itu.

Lombong nikel dan zink Talvivaara mula dibuka di Sotkamo, Utara Finland pada 2008.

Ia menggunakan proses bio-dilusi air dalam memisahkan bijih.

Pihak pendakwaan berkata takungan sisa buangan telah bermasalah sejak awal kerana terlebih kandungan kerana dimasuki hujan, dan air yang tercemar itu kemudian bocor dan memberi kesan kepada alam sekitar.

Air sisa buangan itu turut mengandungi logam dan gipsum.

Kebocoran besar berlaku pada 2008, 2010, 2012 dan 2013.

Penyelidik dari Universiti Helsinki mendapati dua tasik yang terletak bersebelahan begitu teruk tercemar dan tiada organisma hidup di bahagian bawahnya.

Masalah itu menjadi semakin teruk kerana kesilapan yang berlaku tidak pernah diperbetul.

Syarikat itu juga didakwa telah mengelirukan pegawai alam sekitar semasa proses permit dan memberikan maklumat yang tidak mencukupi atau salah, kata pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, defendan menafikan dakwaan itu dan berkata isu alam sekitar bukanlah disebabkan oleh kecuaian, sebaliknya impak air sisa buangan tidak pernah berlaku sebelum ini dan kebocoran adalah sesuatu yang tidak disengajakan.

Bijih nikel bermutu rendah telah ditemui di Sotkamo pada 1970-an.

Selepas perlombongan tradisional dianggap tidak menguntungkan, syarikat Outokumpu Finland menjual hak perlombongan kepada Pera pada harga satu euro dalam tahun 2003.

-- BERNAMA